Wednesday, February 25, 2009

KITA LUPA...PENTINGNYA MENJAGA ROH

Lazimnya manusia sangat memberi perhatian dan mengawasi kesihatan fizikal. Pengawasan dibuat dengan seribu satu macam cara. Apabila mengalami sakit atau sebarang gangguan, biasanya tanpa lengah lagi manusia akan segera menemui doktor. Andainya tidak berkesan daripada rawatan biasa, berpindah pula ke doktor atau rawatan pakar.


Anehnya, tidak demikian sikap manusia dalam menghadapi penyakit hati atau rohani. Sama ada manusia mengambil sikap terus tidak peduli langsung atau mereka memandang remeh terhadap persoalan hati atau roh. Padahal kesan dan akibat daripada penyakit hati atau roh bukan sahaja mencetuskan berbagai kejahatan dan kemungkaran malah akan diseksa di Neraka Allah SWT di Akhirat kelak, wal’iyazubillah.


Marilah sama-sama kita lihat mengapa terlalu pentingnya menjaga hati atau roh yang di antaranya seperti berikut:

1. Kerana roh itu kekal atau dikekalkan, tidak seperti fizikal (jasad lahir), ia binasa. Di Akhirat kelak, roh itu akan diberi jasad baru.

2. Roh itulah yang akan menerima atau merasa nikmat atau azab bersama jasad barunya di Akhirat kelak.

3. Ia adalah wadah rebutan antara malaikat dan syaitan yang mana sama-sama ingin mengisi. Malaikat dengan iman, syaitan dengan kekufuran atau malaikat dengan keyakinan, syaitan dengan keraguan.

4. Ia adalah tempat jatuhnya ilham atau ilmu laduni (dapat ilmu tanpa belajar), ia merupakan wahbiah (anugerah) daripada Allah. Akal tempat ilmu nazali (ilmu yang dipelajari).

5. Roh kalau ia bersih, Allah beri ia rasa yang tepat atau firasat.

6. Roh kalau ia terlalu bersih, matanya lebih tajam dari mata lahir atau mata kepala, sebahagian perkara yang ghaib Allah perlihatkan kepadanya. Itulah yang dikatakan mukasyafatul qulub.

7. Roh atau hati adalah raja dalam diri. Kalau hati itu baik, ia akan arahkan tentera-tenteranya iaitu anggota lahir atau jawarih kepada kebaikan. Kalau ia jahat, ia akan arah tenteranya membuat kejahatan.

8. Kerana ia boleh menerima sifat-sifat mahmudah yang dikehendaki dan juga boleh menerima sifat-sifat mazmumah yang dibenci dan dikeji yang sayugianya hendaklah dibuang atau dijauhi.

9. Ia adalah merupakan tempat merasa iaitu susah atau senang, bahagia atau dukacita, rasa sempit atau rasa lapang, rasa keluh-kesah atau tenang, rasa kecewa atau ceria, rasa putus asa atau harapan yang cerah, rasa benci atau suka, rasa ragu atau percaya, rasa pesimis atau optimis, rasa rindu atau simpati.

10. Sikap jasad lahir atau tingkah laku adalah pancaran dari hati atau roh sama ada baik ataupun buruk.

11. Hati tempat penglihatan dan nilaian Tuhan manakala jasad lahir tempat pandangan makhluk.

12. Hidayah yang lahir, ia adalah punca dari yang batin atau roh atau hati.

13. Sifat mahmudah yang paling terpuji ialah ikhlas, penentu segala amalan seseorang itu diterima atau ditolak ialah bertapak pada roh atau hati, malaikat pun tidak tahu, hanya Allah yang mengetahui.

14. Seseorang yang membuat kebaikan, orang tidak kata baik tangannya, kakinya, tapi orang berkata baik hatinya.

15. Ketahanan yang lahir adalah berpunca daripada ketahanan yang baik yakni roh atau hati.

16. Segala perubahan yang lahir ini berpunca daripada perubahan yang batin yakni roh atau hatinya.

17. Penyakit roh atau hati membawa ke Neraka, penyakit lahir membawa ke Syurga (segala kesusahan dan kesakitan lahiriah merupakan kifarah dosa).

18. Penyakit lahir walau bagaimana teruk sekalipun, ia hanya merosakkan badan, tapi penyakit roh atau hati menghancurkan apa yang ada di dunia ini.

19. Penyakit badan kalau sudah teruk sangat, membawa mati badan, tapi penyakit roh atau hati membawa matinya iman dan Islam.

20. Penyakit badan sakitnya tidak kekal, tapi penyakit roh atau hati seksanya kekal abadi.

21. Penyakit lahir hanya manusia yang benci, tapi penyakit batin Allah benci.

22. Penyakit lahir menguruskan badan, tapi penyakit batin menguruskan iman.

23. Di dalam tidur, adakalanya mendapat alamat di dalam mimpi sama ada secara jelas atau ibarat. Ia diperlihatkan kepada roh, bukan kepada mata kasar.

24. Rasulullah SAW menyuruh takut dengan pandangan mata hati atau pandangan roh. Allah tidak mengatakan agar takut kepada pandangan mata kasar.

Maksudnya: “Takutilah firasat orang mukmin, kerana ia melihat dengan cahaya Allah.
” (Riwayat At Tarmizi)
25. Penyakit lahir tidak dipandang hina oleh Islam, tapi penyakit batin dipandang hina.

26. Penyakit lahir tidak sampai hilang kepercayaan orang, tapi penyakit batin sampai menghilangkan kepercayaan orang.

27. Penyakit lahir tidak membawa permusuhan, perpecahan dan peperangan, tapi penyakit batin membawa pergaduhan, perpecahan dan peperangan.

28. Roh boleh mengembara tanpa jasad dan dapat melihat perkara- perkara yang ajaib dengan izin Allah.

29. Selepas mati, roh boleh balik ke dunia dan dapat melihat keluarganya, tidak seperti jasad.

30. Penyakit lahir orang simpati, penyakit batin orang tidak simpati.


Oleh kerana pentingnya hati dan roh, maka ia hendaklah dijaga sungguh-sungguh iaitu:

1. Wajib kita memberi makanan yang cukup. Makanannya ialah sembahyang, zikrullah, membaca Al Quran, tasbih, tahmid, selawat, melihat kebesaran-Nya melalui pemandangan dan mengingati mati.

2. Memberi ia pakaian iaitu dengan sifat-sifat taqwa.

3. Jauhkan dari sebarang penyakit seperti marah, bakhil, pendendam, sombong, riyak, ujub dan sebagainya.

4. Muhasabah terhadapnya selalu.

5.
Sanggup bermujahadah, membersihkan dan memberi ia makan serta pakaian

Sunday, February 15, 2009

FADHILAT SOLAT DHUHA...

Salam semua…

Maaf kerana lama tidak update blog dek kerana sibuk dengan kerja…kerana aku skrg sedang dlm usaha bertukar dari AIA ke ETIQA TAKAFUL…Alhamdulillah walaupun sudah 5 tahun di AIA,Allah masih sygkan aku dengan menyedarkan aku tentang halal dan haram insuran…isu ini akan diupdatekan kemudian…harini aku nak berkongsi perihal solat sunat yang amat besar fadhilatnya untuk kita sebagai muslim..insyallah…

SOLAT DHUHA…Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri ialah sembahyang sunat Dhuha.
Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya. Antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:-
Maksudnya :”Kekasihku Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”
( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Dalam riwayat yang lain Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda yang maksudnya :
“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah,dan cukuplah ( sebagai ganti ) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha .”
( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya :
“Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”
Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :
“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya aku segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”
(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata :
“Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam berkata : “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”
(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.
Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :
“Adalah Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehendakinya.”
(Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda bermaksud :
” Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,”
( Riwayat At-Thabarani )

Manakala surah yang sunat dibaca selepas membaca Faatihah pada rakaat pertama ialah surah as-Syams dan rakaat kedua selepas membaca al-Faatihah disunatkan membaca surah adh-Dhuha.
Adapun niat sembahyang Dhuha ialah :
Ertinya : ” Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Taala”
Doa’ sembahyang Dhuha ialah:
Maksudnya : ” Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu,kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindungan Mu. Ya Allah jika rezekiku masih diatas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, Keagungan, Keindahan, Kekuatan dan Kekuasaan Mu, limpahkanlah kepada hamba-hamba Mu yang saleh .”

Wasalam

“ Renung-renungkan…dan Selamat Beramal serta Beribadat”